Entri untuk kali ini aku nak ceritakan mengenai pengalaman menjalani ujian fizikal untuk kelayakan menyertai kadet Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) gred M41 bagi tahun 2018. Ini merupakan pengalaman aku yang pertama kali menyertai ujian ini selepas gagal melepasi ujian peperiksaan online pada tahun 2016 yang lepas. Ujian fizikal atau Ujian Kecergasan Jasmani Kebangsaan (UKJK) pada tahun ini (2018) merupakan ujian berkonsep baru kerana ianya diasingkan dengan ujian-ujian yang lain di dalam satu program yang dinamakan Programme Assessment Centre (PAC) seperti yang dijalankan pada tahun sebelum ini. Ujian ini juga dijalankan di hanya satu pusat sahaja bagi setiap bahagian di dalam Malaysia. Disebabkan aku berasal dari Kedah, maka ujian ini dijalankan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan disertai oleh semua peserta yang layak dari semua negeri di Zon Utara. Ujian ini berlangsung selama 5 hari dari hari Isnin (22/1/2018) sehingga hari Jumaat (26/1/2018) dan aku dikehendaki untuk menghadirkan diri pada hari pertama ujian ini berlangsung iaitu pada hari Isnin.
Hari ujian dijalankan (Isnin - 22/1/2018) :
Disebabkan aku perlu mendaftar untuk mengikuti ujian ini pada sesi petang, aku telah berada di dalam kawasan IKBN tersebut seawal jam 12.30 tengah hari. Hal ini kerana sesi pendaftaran akan dimulakan pada jam 2 petang. Pastikan anda tidak lewat untuk sesi pendaftaran ini dan berada di pusat ujian lebih awal untuk mengelak sebarang kesulitan daripada berlaku. Sewaktu sesi pendaftaran berlangsung, para peserta dikehendaki untuk membawa bersama beberapa dokumen penting untuk disemak dan diserahkan kepada pihak SPA. Senarai dokumen tersebut akan diberitahu sewaktu anda menerima surat tawaran untuk menyertai ujian UKJK ini. Dokumen tersebut adalah :
- Salinan ASAL dan FOTOKOPI sijil-sijil graduasi, skrol dan juga transkrip
- Kad pengenalan ASAL dan FOTOKOPI
- Surat tawaran/jemputan untuk mengikuti ujian UKJK
Adalah ditegaskan untuk membawa kesemua dokumen tersebut kerana tiada kompromi akan diberi kepada peserta yang tidak membawa mana-mana dokumen seperti yang diatas. Hal ini kerana malang tidak berbau ini telah menimpa aku disebabkan gagal untuk membawa salinan asal skrol dan transkrip graduasi seperti yang diminta dan pegawai penyelaras yang mengendalikan ujian ini tidak membenarkan aku untuk mendaftar dan mengikuti ujian ini sekiranya tidak lengkap dokumen yang diminta. Namun, aku bersyukur kerana beliau memberi peluang kepada mereka yang menghadapi masalah untuk datang semula pada hari lain bersama-sama dokumen yang lengkap untuk menjalankan ujian fizikal ini. Maka, pada hari pertama ini aku hanya sekadar pergi ke IKBN tersebut tanpa menjalankan sebarang ujian dan pulang dengan tangan kosong dan sedikit hampa.
Hari ujian sebenar dijalankan (Selasa - 23/1/2018)
Pada hari ini aku memilih untuk datang juga pada sesi petang dan membawa bersama dokumen yang lengkap. Selepas berbaris untuk seketika untuk pemeriksaan dokumen dan pemberian nombor giliran atau lebih dikenali dengan nombor badan, akhirnya aku berjaya melepas Peringkat 1. Nombor badan ini akan digunakan sewaktu sesi ujian dijalankan dan pastikan nombor ini sentiasa dipakai kerana sewaktu di dalam dewan, nama peserta tidak akan dipanggil, sebaliknya akan dipanggil menggunakan nombor badan. Nombor bertuah aku pada hari tersebut adalah 155. Selepas berjaya melepasi Peringkat 1, peserta diberi dua borang untuk diisi, iaitu borang Aku Janji dan borang maklumat kesihatan diri. Para peserta juga diingatkan untuk tidak menggunakan telefon bimbit semasa di dalam dewan dan dilarang untuk mengambil gambar dan merakan video semasa ujian ini berlangsung.
Ini adalah contoh nombor badan para peserta dan dua jenis borang yang perlu disi
(Gambar google je sebab tak boleh ambil gambar sendiri)
Setelah selesai sesi pendaftaran kesemua peserta, sesi taklimat bersama para pegawai dan penguji pada hari tersebut akan dimulakan. Para peserta dikehendaki berada di dalam dewan dimana kesemua ujian ini akan dijalankan. Beberapa stesen untuk menjalani ujian telah dibahagikan dan para peserta dibahagikan kepada empat kumpulan dan harus bergerak ke stesen masing-masing untuk menjalankan ujian dan untuk mengelak sebarang kekeliruan, please stick together with your group sebab taknak ada peserta yang tercicir mana-mana ujian.
Dewan tersebut lebih kurang seperti dalam gambar di atas. Pada awalnya, sesi taklimat akan dijalankan di ruang 5. Kemudian para peserta dipecahkan kepada beberapa kumpulan dan bergerak ke stesen masing-masing. Stesen 1 merupakan ruang untuk mengukur ketinggian dan berat badan dan untuk mengira BMI masing-masing. Stesen 2 merupakan stesen untuk ujian duduk dan jangkau dan juga ujian genggaman tangan. Stesen 3 akan diadakan ujian untuk pemeriksaan blood pressure dan nadi. Di sini akan ada beberapa orang jururawat menanti anda. Manakala di atas pentas dewan di stesen 4 terdapat 3 orang urusetia ujian yang akan mengadili anda dari atas. Stesen 5 akan digunakan pada penghujung ujian untuk saringan ujian sit up atau curl up dan juga ujian bleep test 20 meter.
Ujian 1 : Duduk dan Jangkau
Ujian pertama untuk aku pada hari tersebut adalah duduk dan jangkau. Ujian ini akan menguji tahap kelenturan badan anda, kiranya badan yang elastik dan fleksibel akan sangat beruntunglah untuk ujian ini. Sebagai latihan di rumah, lakukan aktiviti ini setiap hari. Cuba untuk capai hujung kaki anda sejauh yang boleh untuk melembutkan otot dan pinggang anda supaya pada hari ujian dijalankan takdalaa keras sangat lenturan tuu. Para peserta dikehendaki untuk duduk di hadapan satu alat pengukur yang digunakan untuk mengukur sejauh mana kemampuan anda untuk melenturkan badan.
Ujian tersebut lebih kurang macam ini lah. Kaki anda akan ditempatkan pada hujung alat dan tangan anda akan bertindih antara satu sama lain dan mulakan menolak penanda di atas alat tersebut sejauh yang boleh. Senang je! Sewaktu ujian ini aku berjaya mencapai sehingga 34.5 cm dan jika menurut jadual yang disertakan dibawah, capaian tersebut dikira sebagai Baik je huhu.
Kalau dah selalu berlatih kat rumah, bolehlah tahu anda berada ditahap yang mana kalau refer jadual diatas. Setkan kemampuan yang anda ingin capai sebelum menjalani ujian.
Ujian 2 : Kiraan BMI
Ujian ini tidak memerlukan sebarang tenaga dari anda, hanya sekadar untuk mengukur ketinggian dan berat badan sahaja. Cubalah untuk capai berat badan yang ideal sebelum mengikuti ujian UKJK ini. Seperti yang tertera di dalam surat tawaran, BMI yang akan diterima adalah dalam lingkuan 19-29 sahaja. Jadi, berusahalah untuk memastikan BMI anda melepasi syarat UKJK ini.
Jadual ini merupakan skor yang anda akan peroleh mengikut BMI masing-masing. Untuk ujian ini, berat aku adalah 56.7 kg dan ketinggian pula adalah 153 cm. Jadi selepas dikira-kira, BMI aku adalah 24, jadi aku memperoleh skor sebanyak 4. Cubalah kira sendiri skor BMI anda!
Ujian 3 : Pemeriksaan Blood Pressure dan Nadi
Untuk ujian ke 3 ini, para peserta hanya perlu melakukan pemeriksaan para jururawat dari KKM untuk memastikan tahap tekanan darah dan juga kiraan nadi dalam masa seminit. Normal blood pressure untuk individu adalah 120/80. Jadi untuk memastikan bacaan anda rendah, dapatkan rehat yang secukupnya pada malam sebelum ujian dijalankan. Untuk ujian ini, bacaan blood pressure aku adalah 128/78 dan ini adalah kategori sihatlah kiranya. Relakskan diri dan jangan nervous sangat, sembang je dengan akak nurse tu, insyaAllah rendah laa nanti bacaan blood pressure anda.
Ujian 4 : Genggaman Tangan
Kemudian, untuk ujian seterusnya, kumpulan aku dikehendaki untuk ke stesen berikutnya untuk menjalani ujian genggaman tangan. Ujian ini mudah sahaja, para peserta diberikan satu alat untuk digenggam yang dinamakan sebagai dynamometer dan alat tersebut akan memberi bacaan terus mengikut kekuatan tangan dan pressure yang kita genggam. Genggam sehabis kuat dengan menggunakan tangan dominan anda, tarik nafas dan hembus perlahan. Ujian ini diberi peluang sebanyak dua kali dan bacaan akan dicatat pada bacaan yang paling tinggi, jadi buatlah sehabis baik. Untuk ujian ini aku berjaya mencapai bacaan sebanyak 29.7 untuk kedua-dua cubaan. Kalau tengok kepada jadual skor yang diberi, aku berjaya mencapai tahap cemerlang bagi kategori umur 26 tahun.
Ini adalah alatan yang akan digunakan untuk mengukur tahap genggaman para peserta. Genggam jaa kuat-kuat sekuat hati anda. Jika cubaan pertama tidak memberansangkan, buat cubaan yang terbaik untuk kali kedua.
Ujian 5 : Sit Up atau Curl Up
Selesai sahaja kesemua empat ujian, para peserta dihimpunkan bersama untuk sesi taklimat bagi menjalani ujian sit up atau curl up. Ujian ini akan dijalankan selepas para peserta lengkap empat ujian sebelum ini. Ujian ini berlangsung selama 60 saat bagi setiap pusingan dan skor bagi ujian ini akan ditentukan mengikut kiraan sit up yang berjaya dilakukan dalam tempoh 60 saat. Ujian ini adalah untuk menguji tahap otot abdomen atau otot perut anda. Digalakkan untuk berlatih sebaik mungkin sebelum menjalani ujian ini bagi menyesuaikan diri dengan langkah-langkah yang betul. Sewaktu ujian ini berlangsung, para peserta diminta untuk berbaring, kaki dirapatkan dan tangan dirapatkan ke sisi. Syarat untuk kiraan sit up dikira adalah untuk memastikan tangan anda mencapai garisan yang kedua apabila anda bangun ketika sit up. Sit up yang menyebabkan kaki terangkat atau tangan anda terangkat tidak akan dikira. Untuk ujian ini, saya hanya mampu mencapai sebanyak 20 kali sehaja. Sedikit kecewa dengan ujian ini kerana inilah satu-satunya ujian yang aku lakukan yang mencapai tahap lemah. Sampai sekarang masih lagi kecewa kerana ramai yang berjaya mencapai hingga tahap Baik huhu :(
Langkah-langkah untuk ujian ini adalah seperti gambar diatas. Sewaktu anda sit up, pastikan tangan anda mencecah sehingga ke garisan kedua dan kiraan akan diambil kira sekiranya langkah ini dilakukan dengan betul. Di bawah adalah garis panduan skor untuk ujian bangun tubi ini. Pastikan anda mencapai tahap yang memuaskan diri anda, sekurang-kurangnya buat sehingga mencapai tahap Baik atau skor 3. Kalau tidak, menyesallah diri anda, macam saya huhu.
Ujian 6 : Bleep Test 20 Meter
Akhir sekali sampailah ke ujian yang terakhir dan paling banyak mempengaruhi markah keseluruhan bagi ujian UKJK ini. Para peserta dikehendaki untuk berlari ulang-alik sejauh 20 meter ditengah-tengah dewan mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan oleh sistem. Para peserta harus berlari dan tiba digarisan penamat sebelum bunyi 'bleep'. Sekiranya peserta sampai di garisan penamat selepas 'bleep' berbunyi, isyarat tangan oleh penguji yang bertugas akan ditunjukkan. Namun, sekiranya anda berpatah balik untuk larian pusingan seterusnya dan berjaya sampai sebelum bunyi 'bleep', kesalahan pertama tadi akan terbatal dengan serta merta. Walau bagimanapun, sekiranya anda sampai ke garisan penamat lewat dua kali berturut-turut, penyertaan anda akan terbatal serta-merta dan kiraan markah akan diambil sehingga ke level tersebut.
Anda adalah sangat digalakkan untuk mendapatkan sedikit exercise untuk menguji stamina anda sebelum menjalani ujian ini. Sebelum tiba hari ujian, aku akan berjoging pada setiap hari (selama sebulan) untuk memastikan badan sendiri akan terbiasa dengan aktiviti fizikal yang akan kita jalankan sewaktu di UKJK. Untuk ujian ini aku berjaya sehingga ke Level 4/Stage 2 sahaja. Kalau diikutkan masih mampu untuk ke stage berikutnya tapi entah kenapa berat betul kaki waktu tersebut dan aku berhenti dari berlari selepas stage 2 haihh. Ujian ini pun masih lagi aku menyesal sebab tak teruskan hingga tahap yang terbaik. Aku hanya mampu mencapai skor 3 untuk ujian ini.
Selesai sahaja ujian ini, para peserta terus pulang ke rumah masing-masing.
____________
Maka dengan ini, tamatlah sudah sesi UKJK aku untuk sesi kali ini. Hopefully aku layak untuk ke peringkat yang seterusnya yang bakal diadakan pada hujung bulan dua ini. Keputusan untuk UKJK ini masih belum diumumkan lagi kerana para peserta dikehendaki untuk menjawab ujian psikometrik online yang akan dijalankan seminggu selepas dari tarikh ujian UKJK ini berlangsung. Kemudian, markah untuk UKJK ini akan digabungkan bersama markah ujian psikometrik dan akan diumumkan pada bulan 2 nanti. Doakan semoga aku berjaya dan kita sama-sama berjaya sehingga ke peringkat akhir. Aminnnn :)
Skor keseluruhan ujian UKJK ini boleh dinilai dan dikira seperti yang tertera dalam jadual ini. So, good luck for those yang akan mengikuti ujian ini pada masa akan datang. Cubalah sehabis baik untuk mencapai Gred A iaitu tahap yang cemerlang dan insyaAllah anda akan terpilih untuk ke peringkat yang seterusnya pula. Good luck!